SUNGAI SIPUT - Membudayakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan pelajar terutamanya sekolah-sekolah luar bandar merupakan antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pelajaran (KPM) dalam agenda mentransformasikan sistem pendidikan negara ini.
Justeru, Multimedia Development Corporation (MDeC) menerajui inisiatif untuk menyokong usaha tersebut dengan menganjurkan Jerayawara Sekolah Bestari MSC Malaysia.
Program dua hari di Felda Lasah di sini baru-baru ini merupakan kesinambungan Jerayawara terdahulu di Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.
Program kali ini melibatkan penyertaan kira-kira 500 peserta terdiri daripada golongan ibu bapa, para pentadbir sekolah serta guru-guru dari sekitar kawasan Sungai Siput dan Kuala Kangsar.
Pakar motivasi dan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain berkata, tujuan utama perlaksanaan program adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap hasil pelaksanaan sekolah bestari kepada orang awam.
"Program ini mampu menyokong usaha kementerian untuk membudayakan ICT di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta masyarakat setempat," katanya ketika ditemui selepas sesi ceramah program itu, baru-baru ini.
Menurut beliau, ia melibatkan tiga komponen utama iaitu pengurusan perubahan pengetua dan guru besar, integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk guru-guru dan kesedaran ICT untuk masyarakat setempat.
Dr. Ismail memberitahu, pembudayaan ICT perlu diserap oleh semua pihak bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti dan berinformasi.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Muhibbah, Rodziah Khalid berkata, program itu amat berfaedah dalam usaha menggalakkan penggunaan ICT di kalangan murid dan masyarakat setempat.
"Ia memberi banyak manfaat dan membantu pelajar dalam mata pelajaran tertentu selain menjadi medium latih tubi bagi memantapkan kemahiran dan penguasaan pelajar menggunakan komputer.
"Program ini juga secara langsung dapat memantapkan kemahiran murid dalam bidang ICT dan meningkatkan prestasi mereka dalam bidang akademik," jelasnya.
Penduduk tempatan, Hassanudin Jiran, 53, pula memberitahu, program tersebut dapat memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat luar bandar menikmati kecanggihan teknologi masa kini.
Tambahnya, adalah penting untuk ibu bapa mendalami ICT agar mereka dapat memantau aktiviti anak-anak supaya kecanggihan teknologi tidak disalahgunakan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment